[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

SPRM tutup kes penerokaan mineral di Sabah

Yasmin Natasha 09/09/2025 | 05:40 MYT
Azam berkata, keputusan untuk menutup siasatan terbabit dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.
PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap kes bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup serta-merta.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan untuk menutup siasatan terbabit dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.

"Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), kerajaan negeri... dan siapa-siapa yang dikatakan terbabit.

"Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009 serta Kanun Keseksaan... dan tiada isu tadbir urus. Maka kes ini ditutup," katanya pada sidang media di sini, hari ini

Pada Julai, media melaporkan, SMM dikatakan telah menganugerahkan Bumi Suria lesen cari gali untuk perlombongan arang batu, melibatkan 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Bagaimanapun, SMM berkata ia bukan badan pemberi lesen, dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menganugerahkan atau mengeluarkan lesen. Ia juga berkata bahawa Bumi Suria tidak pernah dianugerahkan sebarang lesen mencari gali oleh kerajaan negeri.

Farhash, Bumi Suria dan ahli perniagaan Aminudin Mustapha kemudian memfailkan saman terhadap MalaysiaNow dan editornya sebanyak RM10 juta berhubung tiga laporan yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan penganugerahan lesen penerokaan yang didakwa.

Farhash mendakwa, pelbagai kenyataan yang disiarkan portal itu yang mendakwa beliau memiliki Bumi Suria dan syarikat itu telah diberikan lesen yang diperkatakan adalah "palsu dan fitnah".



#Azam Baki #SPRM #penerokaan mineral Sabah #Farhash Wafa Salvador