MALAYSIA
SRC International ditubuhkan untuk rakyat namun Najib pula dapat manfaat - Peguam

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa meskipun SRC International Sdn Bhd ditubuhkan untuk berkhidmat kepada rakyat namun hakikatnya, syarikat itu telah digunakan bagi memanfaatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Peguam Datuk Lim Chee Wee, yang mewakili syarikat itu, berhujah SRC International telah diperalat dan menjadi mangsa penipuan berskala besar dengan Najib sebagai penerima manfaat utamanya berbanding memenuhi tujuan asal ia ditubuhkan.
Beliau berkata demikian pada pendengaran saman SRC International yang menuntut ganti rugi USD1.18 bilion daripada Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
“Dana yang diseleweng melalui SRC adalah duit pencen daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan ketika SRC International mengalami kerugian teruk sebanyak USD1.18 bilion, defendan pertama secara peribadi menerima USD120 juta dan RM42 juta menerusi akaunnya, yang merupakan subjek bagi saman berasingan.“Beliau turut menggunakan peranannya sebagai pengarah bayangan syarikat itu dan mengawal Lembaga Pengarah menerusi resolusi pemegang saham dalam keputusan penting yang sepatutnya dibuat oleh Lembaga Pengarah SRC sendiri,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Lim juga berkata sebagai pengarah bayangan syarikat itu, Najib menandatangani resolusi pemegang saham untuk meluluskan dan memperoleh RM4 bilion pinjaman KWAP serta mengagihkan RM3.6 bilion daripadanya bagi tujuan yang tidak sah.
Perbicaraan bersambung esok.
Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu, memfailkan saman itu mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami