SRC, RM2.6 bil: PPO nasihat SPRM bincang dengan Peguam Negara

Hakim Rahman
Januari 28, 2016 10:52 MYT
Pada Selasa, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion. - Gambar Fail
Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Khas menasihatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk terus berbincang dengan Peguam Negara terhadap keputusan untuk menutup kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kedua-dua panel penasihat SPRM itu berkata, mereka mengambil perhatian terhadap keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menyatakan tidak ada kesalahan jenayah yang dilakukan Najib membabitkan sumbangan RM2.3 bilion dan syarikat milik Kementerian Kewangan.
"PPO adalah badan bebas yang dibentuk kerajaan dengan ahlinya dilantik Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), bagi memantau perjalanan SPRM. Ini termasuk tanggungjawab menerima dan meneliti laporan SPRM berhubung keputusan Peguam Negara mengarahkan kertas siasatan terbabit ditutup.
"PPO juga boleh mengemukakan pandangan berkaitan tindakan lanjut berhubung kes yang diputuskan untuk tidak melakukan pertuduhan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
BACA: SPRM mahu keputusan Peguam Negara dinilai semula
BACA: Henti persoal keputusan Peguam Negara - Azalina
BACA: PM seru rakyat bersatu padu, gerak ke hadapan
PPO dipengerusikan Tan Sri Dr Hamid Bugo dan dianggotai Tan Sri Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M Pathmanathan dan Lim Chee Wee.
Sementara itu, Panel Khas SPRM ditubuhkan atas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, yang juga Speaker Dewan Negara dan ahlinya terdiri daripada PPO.
Pada Selasa, Apandi berkata, Jabatan Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan SPRM berhubung kes SRC dana RM2.6 bilion, sekali gus mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan terbabit ditutup.
Beliau turut menegaskan sesiapa yang tidak bersetuju dengan keputusan peguam negara mengenai kes SRC dan dana RM 2.6 bilion, boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan tafsiran keputusan itu.
#Mohamed Apandi Ali #Panel Penilaian Operasi #Parlimen #Peguam Negara #PPO #RM2.6 bilion #SPRM #SRC #SRC International #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia