Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua kes berkenaan akan dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan arahan supaya ia ditutup.

Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah 'RM2.6 bilion' yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, katanya beliau berpuas hati dengan keterangan saksi serta dokumen yang kemukakan SPRM.

"Saya berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan oleh SPRM kepada saya menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun PM berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion) adalah merupakan sumbangan peribadi kepada PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada beliau tanpa sebarang balasan.

"Pihak SPRM di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada PM secara peribadi," katanya dalam satu sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.


Tambahnya, pada bulan Ogos 2013, wang sejumlah USD620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh Najib kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

Beliau juga berkata, tiada keperluan bagi Malaysia untuk membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah (mutual legal assistance) kepada mana-mana negara asing bagi tujuan melengkapkan siasatan jenayah yang dijalankan SPRM memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana tersebut.

SPRM pada 31 Disember lalu telah menyerahkan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International dan satu kertas siasatan berkaitan kes yang dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion.

Pejabat Peguam Negara telah memulangkan semula kertas-kertas siasatan tersebut minggu lalu untuk mendapatkan penjelasan lanjut.