[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

SRC, RM2.6 bilion: Hentikan persoal keputusan Peguam Negara - Azalina

Rahimah Abdullah 27/01/2016 | 09:19 MYT
Pada Selasa, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion. - Gambar Fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman mahu semua pihak berkenaan menghentikan tindakan mempersoal keputusan Peguam Negara bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri dalam isu melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.
Ia berikutan keputusan itu dibuat setelah meneliti laporan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pelbagai sudut.
"Keputusan Peguam Negara bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah keputusan yang patut dihormati semua pihak.
"Untuk itu, semua pihak perlu berhenti membahaskannya terutama di media sosial," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di Parlimen di sini hari ini.
BACA: SRC, RM2.6 bil: SPRM mahu keputusan Peguam Negara dinilai semula
VIDEO: Kenyataan Peguam Negara berhubung kes SRC Int. dan dana RM2.6 bilion
BACA: Najib telah kembalikan sebahagian besar dana 'RM2.6 bilion' - Peguam Negara
Tegasnya, jika ada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan sesuatu dakwaan, mereka tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum.
"Di bawah Perkara 145 (3), Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.
"Kuasa budibicara yang diberikan Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan dengan oleh mana-mana kuasa termasuk mahkamah," tegas beliau.
Pada Selasa, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.
Susulan itu Najib berharap rakyat Malaysia dapat bersatu padu dan bergerak ke depan, setelah kes itu ditutup.
#Azalina Othman #Mohamed Apandi Ali #Parlimen #Peguam Negara #RM2.6 bilion #SRC #SRC International