Sri Aman tuan rumah Hari Kebangsaan peringkat negeri

Astro Awani
Ogos 12, 2020 09:28 MYT
Acara Unity Walk akan menjadi tumpuan utama pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020 di mana ia akan disertai oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. -Gambar Arkib
Sri Aman diumumkan sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri Sarawak.
Perkara itu diumumkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Rabu.
Sehubungan itu, pelbagai acara telah disusun bagi memeriahkan sambutan hari kemerdekaan berkenaan antaranya Unity Walk yang akan turut disertai Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Abdul Karim berkata, isu keselamatan dan kesihatan sentiasa menjadi keutamaan dalam sambutan yang diraikan itu bersesuaian dengan norma baharu bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
“Semua lokasi terlibat seperti di Dewan Suarah, Hotel Simanggang akan disanitasi sepenuhnya dan peserta yang menyertai acara-acara yang telah diatur akan melalui saringan bertepatan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
“Antara lain Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan turut serta menyertai Unity Walk mengelilingi bandar Simanggang bersama 250 peserta yang akan mengenakan pakaian tradisional,” kata Abdul Karim.
Abdul Karim berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Wisma Baitulmakmur.
Tambahnya, ini bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan walau diraikan dalam suasana berbeza dengan sambutan pada tahun-tahun sebelum ini.
Katanya, perbezaan sambutan ini seharusnya tidak melunturkan semangat patriotisme dalam diri rakyat Malaysia.
Selain itu, beliau menggesa pengunjung supaya terus mematuhi penguatkuasaan garis panduan dan SOP keselamatan ketika sambutan bagi memastikan acara berjalan lancar dan selamat.
Tahun lalu menyaksikan Sarikei sebagai tuan rumah Hari Kebangsaan dengan lebih 2,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan tersebut.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah #Malaysia Prihatin #Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak #Sambutan Kemerdekaan #Sarawak #Sri Aman