[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

SSLR2 buka peluang ekonomi, rapatkan hubungan Sabah, Sarawak

Bernama 11/09/2025 | 09:30 MYT
Majlis pelancaran SSLR2 disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. - Gambar/ FB Alexander Nanta Linggi
Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) yang dilancarkan hari ini dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi, memperkukuh hubungan Sarawak-Sabah dan menyediakan jaringan jalan raya yang lebih selamat kepada penduduk pedalaman.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek bernilai RM7.6 bilion itu diluluskan pada 2023 dan melibatkan jajaran sepanjang 335 kilometer merangkumi kawasan Miri, Limbang, Lawas dan Ba'kelalan.

"Apabila siap kelak, penduduk akan mempunyai pilihan jalan raya untuk keluar masuk antara Sabah dan Sarawak tanpa perlu merentasi laluan antarabangsa. Penduduk pedalaman juga tidak lagi bergantung kepada jalan balak sebagai laluan utama," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Nanga Medamit, dekat sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Nanta, SSLR2 merupakan kesinambungan kepada SSLR Fasa 1 di Lawas yang dimulakan pada 2021 dan telah mencapai kemajuan 57.6 peratus sehingga Julai lepas.Beliau berkata pembinaan projek mega ini dilaksanakan secara berpakej, dengan majlis hari ini diadakan di tapak Pakej 2B dari Long Napir ke Nanga Medamit.

Beliau berkata projek berkenaan dijangka merancakkan pembangunan industri agro dan eko-pelancongan di kawasan terbabit selain memacu keterangkuman demi perpaduan nasional.

Pada masa sama, beliau mengingatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana untuk memastikan pihak kontraktor, Maltimur Aktif Unggul (MAUJV) Sdn. Bhd., menyiapkan projek mengikut skop, kos dan tempoh ditetapkan.

"Kita mahu projek ini disiapkan Ahead of Time (AOT) dan bukannya berulang kali memohon Extension of Time (EOT). Setiap tugas mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta integriti," katanya.

Nanta turut menyeru kerjasama masyarakat setempat bagi melancarkan proses pembinaan agar projek tidak terganggu atau mengalami kelewatan.

"Projek SSLR2 ini adalah manifestasi komitmen kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak untuk memastikan setiap rakyat mendapat akses lebih baik kepada kemudahan dan peluang pembangunan," katanya.

-- BERNAMA


#SSLR2 #Alexander Nanta Linggi #Sabah #Sarawak