MALAYSIA

SST buah import: Epal, oren dikecualikan perluasan SST - Anwar

Faida Rahim 26/06/2025 | 02:25 MYT
Anwar pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Buah epal dan oren import dikecualikan daripada perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan bermula 1 Julai depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet semalam.
"Masih ada orang mengeluh, katanya orang kampung, orang miskin hendak juga makan epal.
"Orang dulu kata ‘An apple a day, keeps the doctor away' tak betul itu, 'a banana' sebenarnya, sebab pisang mempunyai potasium tinggi.
"Jadi semalam kita (putuskan) beri kelonggaran import buah-buahan memang ada sedikit cukai tetapi dikecualikan epal dan oren," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya, di sini hari ini.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan, manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moy berkata, pelaksanaan SST ke atas semua buah-buahan import itu jelas akan menyebabkan peningkatan harga yang lebih ketara.
Katanya, epal, oren dan anggur tidak sewajarnya dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus berikutan ia bukan makanan 'kayangan'.
Berikutan itu kerajaan diminta mengkaji semula perluasan pelaksanaan SST ke atas semua buah-buahan import yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Julai ini kerana akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.
#Anwar Ibrahim #SST #Kota MADANI #pengecualian cukai