[TERKINI] Amir Hamzah Jalankan Tugas Menteri Ekonomi Berkuat Kuasa Serta-Merta – RMK13 Jadi Tumpuan | Berita Lanjut di Sini
MALAYSIA

SST buah import: Kurma, limau mandarin pula dikecualikan SST

Firdaus Azil 27/06/2025 | 07:45 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk mengecualikan dua lagi jenis buah-buahan import daripada SST, iaitu limau mandarin dan kurma. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memutuskan untuk mengecualikan dua lagi jenis buah-buahan import iaitu limau mandarin dan kurma, daripada perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan bermula 1 Julai depan.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian limau mandarin dan kurma daripada peluasan SST bermula 1 Julai, sebagai tambahan kepada epal dan oren, bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
  • Had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan sewaan dan kewangan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta untuk melindungi perniagaan kecil, manakala perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku dan gunting rambut tidak akan dikenakan cukai.
  • Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk melaksanakan SST secara progresif dengan pengecualian terhadap barangan keperluan asas seperti beras, ayam, ikan tempatan dan telur, serta menyeru orang ramai merujuk maklumat rasmi bagi mengelakkan kekeliruan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, ia sebagai tambahan kepada pengecualian epal dan oren, yang diumumkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Khamis.
Jelasnya lagi, Kerajaan MADANI kekal bersedia untuk memastikan semakan semula SST untuk bersifat progresif, serta mengurangkan sebaiknya kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat, serta beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil.
"MOF ingin menggariskan bahawa Kerajaan MADANI tidak mengenakan Cukai Jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak.
"Barangan keperluan harian yang dikecualikan daripada Cukai Jualan ini - sama ada dihasilkan dalam negara atau diimport - termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur. Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu MOF berkata, bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop Cukai Perkhidmatan, Perdana Menteri turut memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan Pajakan atau Sewaan serta Perkhidmatan Kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan Cukai Perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan untuk membolehkan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai,” menurut kementerian lagi.
Dalam pada itu, MOF berkata, Cukai Perkhidmatan juga tidak akan diperluas kepada perkhidmatan kecantikan.
“Selepas meneliti sentimen awam, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan turut memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop Cukai Perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku (manicure dan pedicure), rawatan wajah (facial), serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut,” katanya lagi.
MOF turut menyeru semua pihak agar membuat kenyataan yang bertanggungjawab dan berpandukan maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST.
Orang awam disarankan untuk merujuk pengumuman awam, infografik, perundangan subsidiari, garis panduan, dan soalan lazim (FAQ) yang diterbitkan menerusi saluran rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
#SST #buah import #cukai jualan #Anwar Ibrahim #terkini