[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

SST: Kerajaan ambil maklum pandangan ramai - Fahmi

Seth Akmal 18/06/2025 | 08:01 MYT
Fahmi berkata, dalam keadaan kerajaan berusaha menangani ketirisan dan penyelewengan, hasil kutipan SST akan dimanfaatkan kepada seluruh masyarakat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan mengambil maklum pandangan yang diberikan terhadap perlaksanaan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuatkuasa 1 Julai.

Ringkasan AI
  • Kerajaan mengambil maklum pandangan orang ramai terhadap perluasan skop SST yang akan berkuat kuasa 1 Julai, dan Menteri Kewangan II dijangka memberi penjelasan lanjut mengenainya.
  • Hasil kutipan SST akan digunakan untuk manfaat rakyat seperti pembinaan sekolah dan hospital, selaras dengan usaha kerajaan membanteras ketirisan dan rasuah.
  • Semakan semula SST akan dilaksanakan secara bersasar, dengan kadar cukai dikenakan ke atas barangan pilihan dan premium, manakala barangan keperluan asas kekal dikecualikan.

Jurucakap kerajaan itu juga memaklumkan bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan memberi penjelasan lanjut mengenai perlaksanaan cukai itu.
“Saya dimaklumkan Menteri Kewangan II akan beri penjelasan lebih lanjut sama ada melalui media atau kenyataan. Kerajaan mengambil pandangan yang serius terhadap maklum balas yang diberikan,” katanya semasa sidang media pasca-Mesyuarat kabinet di Putrajaya pada Rabu,
Fahmi berkata, dalam keadaan kerajaan berusaha menangani ketirisan dan penyelewengan, hasil kutipan SST akan dimanfaatkan kepada seluruh masyarakat
“Umum sedia maklum apa yg dikutip melalui hasil ini akan disalurkan untuk pembinaan contohnya sekolah dan hospital.
“Dan dalam (usaha) kerajaan mengurangkan kecurian atau penyelewengan dana, membanteras rasuah dengan lebih tegas maka hasil yang kita berjaya peroleh melalui perluasan skop SST akan dapat membantu lebih ramai rakyat,” katanya.
Namun Fahmi berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini tidak membincangkan perkara tersebut secara mendalam.
Kerajaan akan melaksanakan semakan semula SST secara bersasar selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.
Langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, tanpa membebankan rakyat terbanyak, menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Antara langkah utama yang diumumkan termasuk kadar lima peratus dikenakan ke atas barangan pilihan seperti salmon, truffle, kain sutera dan jentera industri.
Kadar 10 peratus dikenakan ke atas barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik.
Namun pengecualian dikekalkan bagi barangan keperluan asas seperti ayam, ikan, beras, susu, ubat, buku, serta bahan binaan dan input pertanian.
#Amir Hamzah Azizan #SST #barangan dikenakan SST #Fahmi Fadzil