Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

SST lebih progresif berbanding GST, fokus agihan beban cukai secara adil - Amir Hamzah

Bernama 18/08/2025 | 12:37 MYT
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan peluasan SST telah dirangka bagi memastikan beban cukai diagihkan dengan lebih adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan memilih untuk mengekalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan peluasan skop setelah mempertimbangkan kelebihan dan kekurangan kedua-dua sistem percukaian kepenggunaan SST dan juga Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan peluasan SST telah dirangka dengan bersasar dan progresif bagi memastikan beban cukai diagihkan dengan lebih adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan.

"Antara asas pertimbangan utama adalah kebersediaan sistem dan impak segera, pendekatan bersasar dan kesan yang lebih terkawal berbanding GST yang bersifat menyeluruh.

"SST memberi ruang kepada Kerajaan MADANI untuk mengambil pendekatan yang lebih progresif berbanding GST dengan menetapkan skop percukaian secara lebih terfokus," kata beliau ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata walaupun GST menyediakan senarai pengecualian dan kadar sifar, jumlahnya lebih kecil berbanding senarai barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan SST.

Menurutnya, kerajaan menganggar menjana kutipan hasil tambahan sebanyak RM5 bilion bagi 2025 dan RM10 bilion bagi 2026.

"Peningkatan kutipan hasil daripada perluasan SST akan digunakan untuk terus melabur dalam menambah baik sistem jaringan sosial demi kesejahteraan rakyat.

"Sebagai contoh, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah ditingkatkan daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion pada 2025 bagi membantu rakyat dengan cabaran kos sara hidup," katanya.

Menyentuh mengenai cukai karbon, Amir Hamzah berkata kerajaan merancang untuk memperkenalkan cukai karbon pada 2026 sebagai komitmen mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.

"Pada peringkat awal, ia akan ditumpukan kepada sektor besi, keluli dan tenaga yang menjadi penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca," katanya.

Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan kini sedang meneliti amalan terbaik antarabangsa termasuk dari Norway, United Kingdom, Kanada, Korea Selatan, Jepun serta Singapura dan Indonesia di rantau ini, yang telah atau sedang melaksanakan cukai karbon serta Emission Trading Scheme (ETS).

"Kerangka pelaksanaan cukai karbon ini akan diselaraskan dengan dasar perubahan iklim dan pasaran karbon negara, di samping mengambil kira langkah seperti penyasaran semula subsidi bahan api fosil yang telah mula dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA

#SST #Amir Hamzah Azizan #GST #progresif #agihan lebih adil