SEBUAH syarikat AI iaitu Stability AI telah melancarkan Stable Video 4D di mana ia merupakan model AI baru yang membolehkan pengguna untuk menjana video 4D dengan hasil yang realistik daripada input video 2D.

Video yang dijana hadir dengan animasi realistik mengikut input video 2D asal.

Fungsi Stable Video 4D ini dapat menjana video input hanya dalam masa lebih kurang 40 saat dengan lapan perspektif yang berbeza.

Masa yang diambil untuk keseluruhan proses optimasi video pula mengambil masa sekitar 20 hingga 25 minit.

Melaluinya, pengguna juga boleh menentukan sudut kamera dan menyesuaikan hasil video agar memenuhi kemahuan dan kesesuaian video yang diinginkan.

Ini termasuklah kebolehan menjana bahagian objek yang tidak dapat dilihat untuk menghasilkan perspektif tambahan dengan ia mentafsir objek dan komponen berdasarkan rujukan yang diberi.

Penciptaan teknologi seperti ini dilihat memperluas lagi lapangan kreativiti dan inovasi dalam pelbagai industri termasuklah industri filem, permainan video dan pelbagai lagi.

Walau bagaimanapun, Stable Video 4D ini masih dalam proses pembangunan dan penyelidikan serta dijangka akan melalui proses penambahbaikan secara berterusan untuk pengalaman penggunaan yang lebih baik kelak. -Amanz