[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

Stadium Batu Kawan jadi tumpuan, PM Anwar rasmi Sambutan Minggu Perpaduan

Bernama 19/07/2025 | 01:20 MYT
Hari ketiga Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, diteruskan dengan menyajikan pelbagai pengisian yang sarat elemen informatif, kebudayaan pelbagai kaum, warisan dan jati diri nasional. - Gambar Bernama
BATU KAWAN: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung meriah di pekarangan Stadium Batu Kawan memasuki hari ketiga dengan acara kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bertemakan "Harmoni Dalam Kepelbagaian", majlis perasmian SMP 2025 dijadual berlangsung pada 10.30 pagi dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sambutan peringkat kebangsaan edisi ketiga selepas di Kuching, Sarawak pada 2023 dan Johor tahun lepas itu, juga akan diserikan dengan penyampaian Geran Rukun Tetangga (RT) Progresif dan pemberian Biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman kepada penerima yang layak.

SMP 2025 hari ini turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang mencerminkan keunikan budaya rakyat Malaysia, antaranya Pertandingan Roti Canai Terbang dan Peragaan Pengantin Semua Etnik.

Pada sebelah malam pula, pengunjung akan dihiburkan dengan 'Konsert Malam Irama Unity Sama-Sama Kita' yang menampilkan barisan artis terkenal tanah air seperti Datuk Awie, Stacy, Jaclyn Victor, Black Hanifah, Shiha Zikir dan Suki Low.

Secara keseluruhan, 35 aktiviti menarik terus menanti pengunjung sempena SMP 2025 yang berlangsung Khamis hingga Ahad ini, termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.

Sempena minggu perpaduan itu juga, pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat disediakan termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Pulau Mutiara hari ini, turut dijadualkan menghadiri beberapa program lain termasuk pelancaran Pelan Induk Bumiputera Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM), Permatang Pauh, dekat sini.

Selepas itu, beliau akan menghadiri Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Pembangunan Rumah Bakat MADANI SkyWorld Pearlmont di Seberang Jaya serta Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar di Bayan Lepas pada 4 petang ini.

-- BERNAMA





#PM Anwar Ibrahim #Sambutan Minggu Perpaduan #Stadium Batu Kawan #Harmoni Dalam Kepelbagaian