KUALA LUMPUR: Stadium Merdeka, yang merupakan satu daripada mercu tanda ikonik bersejarah negara dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini selepas ia ditutup sejak 2016.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti pada 1957 mendapat kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.

"Usaha restorasi bangunan bersejarah ini diharapkan dapat meningkatkan nilai warisan budaya negara serta mencipta peluang ekonomi dan sosial yang berkekalan, selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke lokasi ikonik ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Menjunjung Kasih sempena Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di ibu negara, pada Rabu.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat PNB telah menubuhkan Merdeka Heritage Trust (MHT) 2006 untuk memulih, memelihara dan mengurus Stadium Merdeka.

Ia termasuk pemindahan teres tempat duduk untuk kapasiti tempat duduk yang lebih besar iaitu 45,000 tempat duduk yang dibina untuk Sukan SEA 1989.

Stadium Merdeka dianggap sebagai keajaiban kejuruteraan Persekutuan Tanah Melayu apabila mula dibina pada 1956 dan siap dalam tempoh setahun dan menjadi tuan rumah bagi detik paling bersejarah apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, diikuti dengan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.

Mengenai majlis perasmian hari ini, Arshad berkata PNB sudah mula memindahkan operasi secara berperingkat ke Menara Merdeka 118 bermula Disember 2023. PNB akan menduduki 17 tingkat bagi menempatkan kira-kira 1,500 warga PNB.

Katanya, Menara Merdeka 118 terbahagi kepada 83 tingkat lantai pejabat premium gred A, manakala Park Hyatt Kuala Lumpur yang dijangka akan beroperasi pertengahan tahun ini akan menduduki 17 tingkat atas.

Menara canggih yang mempunyai 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828 meter.

Direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia, struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).

Sebelum ini, kedudukan menara kedua tertinggi itu dipegang Shanghai Tower pada ketinggian 632 meter.

-- BERNAMA