PUTRAJAYA: Seorang wanita berusia 37 tahun mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai orang Islam.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membenarkan permohonan wanita itu untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan selepas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor tidak mengemukakan bantahan.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Susulan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan enam isu perundangan pada perbicaraan yang akan ditetapkan tarikhnya kelak.

Wanita itu telah membangkitkan empat isu perundangan manakala MAIS dan kerajaan negeri masing-masing dibenar mengemukakan satu persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada perintah Mahkamah Syariah sah dan bolehkah ia dicabar di Mahkamah Tinggi sivil serta jika Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan terpakai.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan status Islam wanita itu.

Pada 21 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan beliau sebagai bukan Islam.

Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu yang penganut Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

Dia berkata, ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992.

Pada tahun berikutnya (1993) ibunya berkahwin dengan seorang lelaki Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.

Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili wanita itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda bertindak bagi pihak MAIS manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid hadir bagi pihak kerajaan negeri.

-- BERNAMA