KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang mengadakan prosiding baharu berhubung kemajuan pembinaan Kapal Littoral Combatant Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata cadangan prosiding berkenaan akan dimulakan sebaik Dewan Rakyat meluluskan pelantikan Ahli-ahli PAC pada Mesyuarat Kedua sidang Dewan Rakyat yang bermula 22 Mei ini.

"Sebaik pelantikan Ahli-ahli PAC diluluskan, saya akan memanggil Mesyuarat PAC pertama bagi penggal Parlimen ke -15 dan agenda pertama adalah berhubung prosiding baharu bagi perkembangan kemajuan pembinaan Kapal LCS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata beliau mengambil maklum bahawa PAC Parlimen penggal ke-14 sudah membentangkan Laporan Perolehan Kapal LCS pada 4 Ogos tahun lalu dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sudah membentangkan maklum balas kepada PAC Parlimen terhadap tujuh syor PAC Parlimen penggal ke-14 pada 5 Okt lepas.

Beliau berkata syor ketujuh dalam laporan PAC berkenaan menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu membentangkan laporan kemajuan pembinaan Kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC.

"Sehubungan itu, saya akan mencadangkan kepada PAC bahawa setiap tiga bulan apabila laporan kemajuan dibentangkan kepada jawatankuasa ini, PAC akan mengeluarkan satu laporan baharu untuk dibentangkan kepada Parlimen.

"Namun bagi prosiding pertama (ini) akan dikenali sebagai Prosiding PAC berhubung Kemajuan Pembinaan Kapal LCS Dalam Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023," katanya.

Beliau berkata PAC dijangka mengadakan prosiding pertama ini di Limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) iaitu syarikat pembinaan kapal LCS dan seterusnya mengadakan lawatan kerja bagi melihat sendiri kemajuan pembinaan kapal LCS.

Mas Ermieyati berkata beliau dan Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi juga sudah mengadakan kunjungan hormat kepada semua tujuh wakil tetap atau Ex Officio PAC iaitu Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

"Semua Ex Officio PAC yang ditemui bersetuju untuk terus menjalinkan kerjasama erat dengan PAC dalam memastikan ketelusan dan kredibiliti jawatankuasa ini terus diperkukuhkan.

"Saya turut memberikan penjelasan kepada semua Ex Officio PAC terhadap beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan dalam PAC Parlimen penggal ke-15 terutama membabitkan Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal/Ketua Setiausaha Terhadap Syor Laporan PAC," katanya.

-- BERNAMA