MALAYSIA

Status kerakyatan 200 nelayan ditahan Indonesia belum dapat disahkan - Khalid

Harits Asyraf Hasnan 22/11/2014 | 11:26 MYT
KHALID: Kesemua mereka yang ditahan dipercayai warga asing. -Gambar fail
Status kerakyatan dan identiti kesemua 200 nelayan yang dilapor ditangkap di perairan Indonesia Rabu lalu masih belum dapat disahkan.

Ini kerana kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau butiran pengenalan diri.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka yang ditahan dipercayai warga asing.

Khalid percaya, kesemua mereka cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Indonesia.

Sehubungan itu, Khalid menegaskan PDRM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam isu ini.

Pada 19 November lalu, media melaporkan kerajaan Indonesia telah menahan 200 nelayan dipercayai warga Malaysia ekoran tindakan penangkapan ikan secara haram di perairan negara tersebut.

Penahanan itu menyusul pendekatan tegas oleh Presidennya, Joko Widodo berhubung isu maritim dan sempadan perairan dua negara.

Dalam perkembangan sama, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjelaskan tiada laporan mengenai bot nelayan Malaysia yang ditahan pihak Indonesia.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Amdan Kurish menyangkal dakwaan yang dibuat Indonesia itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas sama sekali.

Beliau juga menyatakan APMM sudah memeriksa kesemua pangkalan bot nelayan di Malaysia dan mendapati kesemua nelayan yang turun ke laut pulang selamat ke jeti masing-masing.

“Saya rasa pihak Indonesia mungkin mengumpul data-data keseluruhan sejak 2006 sampai sekarang. Yang dia kata sampai 200 orang tu, cuba fikir secara logik. Bot nelayan kita cuma ada lapan orang. Adakah wajar dalam satu hari dia dapat tangkap 40 bot kita? Tak wajar.

"Jadi kita dah tanya semua pangkalan kita. Memang tidak ada bot yang hilang,” kata Amdan.

Amdan menyatakan pihak berkuasa Indonesia juga tidak tahu mengenai dakwaan berkenaan.
#IGP #Khalid Abu Bakar #nelayan #warga asing