Status kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah II Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk Shaharuddin Ibrahim kini masih menjadi tanda tanya meskipun sudah setahun berlalu.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata setelah setahun selepas kes tersebut berlaku, tiada sebarang perkembangan terhadap kes pembunuhan tersebut.

“Anak Allahyarham, Mohd Akhtar melahirkan rasa kecewa terhadap polis apabila selepas empat bulan kes tersebut, tiada sebarang perkembangan terkini berhubung kes tersebut dan beliau turut mengesyaki bahawa kematian bapanya itu mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di Langkawi,” katanya dalam kenyataan medianya kepada Astro Awani.

Beliau menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya tidak hanya membiarkan siasatan kes tersebut terbiar tanpa mengheret suspek utama ke muka pengadilan.

Sementara itu, menghukum pembeli yang tertipu bukanlah penyelesaian kepada masalah penyeludupan kereta yang berlaku.

“Pihak berkuasalah yang sepatutnya memburu dalang yang terlibat dalam usaha menangani masalah penyeludupan kereta ini,” katanya lagi.

Menurutnya, beliau dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok banyak menerima aduan terutama daripada pengusaha kereta terpakai yang membeli kereta di Langkawi.

“Dakwa mereka, kereta-kereta tersebut memiliki rekod kastam dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun sebaliknya palsu dan mereka hanya mengetahui perkara tersebut setelah mereka menerima surat daripada kastam yang meminta mereka membayar eksais dan cukai import,”.

Kos tersebut kebanyakkannya mencecah ratusan ribu ringgit dan kastam memberikan pilihan sama ada mereka membayar eksais dan cukai dengan potongan 50 peratus atau berdepan dengan ancaman kereta mereka itu dirampas.

Tambahnya lagi, pada 21 Mac 2013, sebanyak 368 kereta yang didaftarkan di Langkawi dikesan menggunakan borang pengisytiharan kastam palsu.

“Kastam tidak perlu meneruskan rancangan merampas kenderaan tersebut, sebaliknya silalah tunggu terlebih dahulu sebuah siasatan menyeluruh daripada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perkara tersebut,”.

“Kami gesa kastam agar tidak merampas kenderaan mereka sebelum siasatan menyeluruh polis dan juga SPRM berhubung borang pengisytiharan kastam palsu selesai,” katanya lagi.

Setakat ini masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan yang dibuat pengusaha kereta terpakai itu.