Skip to main content

Bisnes

Status pelaburan BYD tidak jejas keyakinan dalam kalangan pelabur lain terhadap Perak - MB

51729147394_tbSaaraniMohamad.jpg
Saarani berkata, Perak tidak hanya bergantung kepada satu pelabur memandangkan negeri kekal menerima minat berterusan daripada pelabur lain termasuk dari Taiwan. - Gambar fail

IPOH: Isu pelaburan pembuat kenderaan elektrik (EV) BYD tidak menjejaskan keyakinan pelabur lain untuk terus melabur di Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata Perak tidak hanya bergantung kepada satu pelabur memandangkan negeri kekal menerima minat berterusan daripada pelabur lain termasuk dari Taiwan yang membincangkan pelaburan baharu dengan pihak kerajaan negeri hari ini.

Advertisement

“Bukan hanya satu pelabur sahaja yang datang melabur di Perak. Tadi (pada sebelah pagi) kita ada menerima taklimat pelabur dari Taiwan (dengan nilai pelaburan) dianggarkan RM840 juta. Ini bermakna jika BYD tidak dapat melabur di Perak, itu tidaklah akan menjejaskan pelabur lain.

“Tapak perindustrian, taman perindustrian dibuka dengan banyaknya dan pelabur lain dipelawa untuk melabur di Perak,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis penganugerahan biasiswa kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan penyerahan cek cura Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) Mohd Azhar Mohd Yusof, Pengurus Besar Yayasan Perak (YP) Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee. 

Saarani berkata perkara berkaitan BYD itu disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak mencerminkan keseluruhan pelaburan di Perak.

Sementara itu, Loh berkata kerajaan negeri masih dalam proses rayuan kepada kerajaan Persekutuan berkenaan dengan pelaburan BYD.

“Saya berpandangan pihak mereka (kerajaan Persekutuan) sedang menganalisis maklumat yang ada dan keputusan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Jadi, saya berharap semua pihak percaya kepada pentadbiran kerajaan, percaya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kami di Perak cuma menyampaikan sahaja hasrat rakyat Perak,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenakan dasar perlindungan industri yang mewajibkan kenderaan pemasangan tempatan BYD mematuhi kuota eksport iaitu 80 peratus eksport dan 20 peratus jualan domestik atau had jualan domestik sebanyak 10,000 unit setahun.

Syarat itu bertujuan untuk mengimbangi pelaburan asing dengan kepentingan industri tempatan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video