MALAYSIA

Status Tier 1 Aeroangkasa: NAICO Malaysia pacu ekosistem, MyAeroCenter jadi pemangkin teknologi

Firdaus Azil 24/12/2025 | 06:15 MYT
Shamsul Kamar sewaktu bersiaran dalam program Pantau Belanjawan Astro AWANI pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di ambang transformasi besar dalam industri aeroangkasa apabila negara diiktiraf sebagai pemain tier 1 global bagi industri aeroangkasa.


Ringkasan AI
  • Malaysia diiktiraf sebagai pemain tier 1 global dalam industri aeroangkasa berikutan pengambilalihan Spirit AeroSystems oleh CTRM di bawah DRB-HICOM, menempatkan negara dalam kedudukan bersaing pada peringkat global.
  • NAICO Malaysia memperkukuh ekosistem industri aeroangkasa dengan MyAeroCenter sebagai platform teknologi bersama industri dan universiti, melibatkan lebih 30 institusi pengajian tinggi dalam projek reverse engineering, digitalisation, dan remote design.
  • Fokus Malaysia dalam RMK-13 adalah pada Advanced Air Mobility, UAV tempatan, Sustainable Aviation Fuel, dan penggunaan bahan bio untuk bahan api hijau, menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa pilihan di Asia Tenggara dengan hasil industri dijangka mencecah RM30 bilion tahun ini.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO Malaysia), Prof Ts Shamsul Kamar Abu Samah berkata, pencapaian itu dikaitkan dengan pengambilalihan kumpulan Spirit AeroSystems oleh entiti tempatan, CTRM di bawah DRB-HICOM.

Beliau berkata, langkah seperti itu sebelum ini hanya mampu dilakukan oleh gergasi industri penerbangan dunia seperti Airbus dan Boeing, dan tambah beliau lagi, pengambilalihan itu bukan sekadar kejayaan korporat, tetapi simbol keupayaan Malaysia bersaing di peringkat global.

“Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan pada kita, bahawa masyarakat luar melihat kita mempunyai daya saing yang tinggi, mempunyai kepakaran yang sangat membanggakan dan menempatkan diri kita di kalangan pemain-pemain industri dunia.

“Jadi ini sesuatu pencapaian yang sangat kita banggakan. Selain daripada itu, di NAICO Malaysia sendiri, kita dah pun mengoperasikan sepenuhnya Malaysia Aerospace Center – makmal pertama kita di NAICO Malaysia dengan tumpuan kepada engineering dan design reverse engineering dan kemudian beberapa sistem teknologi tinggi digitalisation yang sedang kita develop ataupun kita kembangkan.

“Ini supaya masyarakat kita dapat mengguna pakai sistem-sistem yang baru untuk meningkatkan kompetensi industri bukan hanya bakat sahaja yang kita lihat,” katanya sewaktu bersiaran dalam program Pantau Belanjawan Astro AWANI pada Rabu.

Pantau Belanjawan: Aeroangkasa | Refleksi 2025 dan hala tuju 2026

Menerangkan lebih lanjut mengenai usaha mewujudkan ekosistem baharu, Shamsul Kamar berkata, NAICO Malaysia kini memperkukuh ekosistem melalui Malaysia Aerospace Center (MyAeroCenter) yang berfungsi sebagai platform teknologi bersama industri dan universiti. Lebih 30 institusi pengajian tinggi sudah terlibat dalam projek seperti reverse engineering, digitalisation, dan remote design.

Beliau berkata, zaman pasca COVID-19, memerlukan lanskap industri berubah drastik, dan keperluan terhadap automasi, robotik, pencetakan 3D, dan bahan komposit semakin mendesak.

Justeru, jelasnya lagi, NAICO Malaysia menggalakkan pendekatan work-based learning – dua tahun di universiti, dua tahun di industri – bagi memastikan graduan bersedia dengan teknologi terkini.

Dalam pada itu Shamsul Kamar berkata, berdasarkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), fokus Malaysia adalah pada Advanced Air Mobility (AAM), UAV dan dron buatan tempatan, serta Sustainable Aviation Fuel (SAF).

Selain itu beliau berkata, Malaysia juga sedang meneroka penggunaan bahan bio seperti sisa pertanian untuk pengeluaran bahan api hijau – selaras dengan agenda NIMP2030 berasaskan aktiviti bernilai tinggi.

Dengan hasil industri aeroangkasa dijangka mencecah RM30 bilion tahun ini, Shamsul Kamar berkata, Malaysia dilihat bersedia melonjak sebagai hab aeroangkasa pilihan di Asia Tenggara.

“Malaysia mempunyai kekuatan teknologi dan keinginan untuk pergi lebih jauh. Saya percaya kita boleh menjadi pusat inovasi aeroangkasa serantau,” katanya lagi.








Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah pengiktirafan terkini Malaysia dalam industri aeroangkasa?
    A: Malaysia diiktiraf sebagai pemain tier 1 global bagi industri aeroangkasa.
  • Q: Apa kelebihan yang Malaysia capai melalui pengambilalihan kumpulan Spirit AeroSystems oleh CTRM?
    A: Malaysia menunjukkan keupayaan bersaing di peringkat global dan mempunyai daya saing yang tinggi dalam industri aeroangkasa.
  • Q: Apa yang dilakukan oleh NAICO Malaysia untuk memperkukuh ekosistem industri aeroangkasa?
    A: NAICO Malaysia memperkukuh ekosistem melalui Malaysia Aerospace Center (MyAeroCenter) sebagai platform teknologi bersama industri dan universiti.
  • Q: Apa fokus Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) berkaitan industri aeroangkasa?
    A: Fokus Malaysia adalah pada Advanced Air Mobility (AAM), UAV dan dron buatan tempatan, serta Sustainable Aviation Fuel (SAF).
  • Q: Berapakah nilai industri aeroangkasa dijangka mencapai tahun ini, dan apakah implikasinya kepada Malaysia?
    A: Industri aeroangkasa dijangka mencapai RM30 bilion tahun ini, menunjukkan potensi Malaysia melonjak sebagai hab aeroangkasa pilihan di Asia Tenggara.



#NAICO Malaysia #Industri Aeroangkasa Malaysia #Shamsul Kamar Abu Samah #Pantau Belanjawan