Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Di dalam laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim ucapkan dengan berterima kasih kepada kerajaan kerana menghormati dan menerima pandangan Majlis Raja-Raja.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mendengar suara rakyat untuk membatalkan perjanjian Statut Rome yang telah ditandatangani pada bulan Mac yang lalu.

“Saya berharap kerajaan akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik.


“Saya akan memastikan kedaulatan negara dan keharmonian hidup rakyat akan sentiasa dipelihara. Raja dan Rakyat berpisah tiada,” titah baginda.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC kerana kekeliruan timbul dalam masyarakat serta ada pihak tertentu cuba membuatkan institusi Raja menentang kerajaan.

BACA: Jika perjanjian antarabangsa bagus, mengapa rakyat Palestin masih dizalimi? - TMJ


Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun depan selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.