KUALA LUMPUR : Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Malaysia Aviation Group (MAG) menjalinkan kerjasama dalam mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan untuk tahun ini.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) oleh kedua-dua pihak pada Rabu.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, jalinan itu dapat memacu industri pelancongan Sarawak, selain menghubungkan pelancong tempatan khasnya dari Semenanjung dan Sabah.

"STB dan MAG akan bekerjasama memasar dan mempromosikan acara di antara STB, Malaysia Airlines Bhd, FireFly, MASwings dan MHholidays," katanya.

Beliau dalam masa sama turut berkata, Sarawak merekodkan peningkatan sebanyak lima kali ganda pada Disember 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Ujarnya, jumlah penerbangan ke Sarawak meningkat kepada 562 penerbangan seminggu, berbanding 307 penerbangan dalam minggu sebelum ini.

"Sebelum pandemik COVID-19, jumlah penerbangan ke Sarawak adalah sekitar 600 seminggu, bermakna kami sudah semakin menghampiri paras normal," katanya.

Abdul Karim dalam masa sama turut berharap peningkatan dari segi jumlah kemasukan pelancong dapat dilihat dalam bulan mendatang.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen kembara Sia Sitok Sarawak Plus di Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada Rabu.

Program itu adalah merupakan anjuran STB dengan kerjasama MAG.

Inisiatifnya adalah untuk melonjakkan industri pelancongan Bumi Kenyalang menerusi kemasukan pelancong ke pintu masuk di bandar-bandar utama seperti di Kuching, Sibu, Miri.

Sebanyak 57 pakej pelancongan ditawarkan di negeri itu yang mana tempahannya boleh dibuat bermula hari ini sehingga 28 Februari 2022 bagi perjalanan sehingga 30 April tahun sama.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi STB, Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail berkata kesinambungan ke Sarawak terus dipertingkatkan.

Antaranya, penerbangan langsung dari Pulau Pinang ke Kuching dan meningkatkan kekerapan penerbangan antara Miri-Sibu-Bintulu.