Stesen projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura dibayangkan bakal menjadi hab dan pintu masuk ke bandar-bandar moden dan paling maju Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata wawasan ini adalah elemen yang sama penting yang akan memacu Malaysia ke arah mencapai aspirasi Transformasi 2050 (TN50).

"Selain merevolusikan hubungan antara dua kuasa ekonomi utama Asia Tenggara itu, HSR juga pada dasarnya akan menggabungkan bandar-bandar yang berpeluang mendapat manfaat daripada rangkaian meluas permintaan pasaran yang besar, tenaga kerja, prasarana dan kluster peluang perniagaan," kata Najib.

Beliau berkata demikian semasa memperkenalkan reka bentuk konsep stesen HSR KL-Singapura di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata bagi Malaysia, HSR akan menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, menyediakan peluang pelaburan dan pempelbagaian yang lebih besar.

Sementara itu, Pengerusi MyHSR Corporation Sdn Bhd, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata projek tersebut merupakan pembawa perubahan ikonik bagi negara dan akan menjadikannya terus kompetitif, sederhana dan dinamik untuk bergerak seiring dengan negara-negara lain di dunia.

"Pelaburan yang kita buat hari ini akan mempercepatkan ke arah mencapai matlamat TN50 dalam menjadi 20 negara utama dalam pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi," katanya.

Menurutnya, pembidaan projek itu yang dijangka tahun depan telah menarik minat yang amat besar daripada syarikat-syarikat yang telahpun membentuk perkongsian dan juga konsortium untuk menyertai tender tersebut.

HSR KL-Singapura yang dijangka mula beroperasi pada 2026, menghubungkan bandar-bandar iaitu Kuala Lumpur, Bangi, Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

MyHSR Corporation yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan bertanggungjawab bagi pembangunan dan pelaksanaan projek tersebut.

-- BERNAMA