MALAYSIA
Stesen KTM Ipoh berwajah baharu, tiada lagi isu siling bocor

Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, stesen kereta api berusia lebih 100 tahun ini menerima ribuan pengguna setiap hari. - Foto RAC
IPOH: Tiada lagi isu siling bocor, di samping kafeteria dan tandas yang sudah dibaik pulih serta berwajah baharu di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh.
Akhirnya, pengunjung dan penumpang dapat merasai suasana serta pengalaman baharu yang lebih selesa berbanding sebelumnya.
Menurut kenyataan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) hari ini, kerja baik pulih di stesen berkenaan siap sepenuhnya pada 15 Mei lalu.
"Kerja baik pulih itu membabitkan mengecat serta membaiki siling serta dinding di ruang ketibaan."Selain itu, tandas serta kafeteria juga dibaik pulih demi keselesaan penguna serta orang ramai.
"RAC turut menjalankan kerja berkaitan elektrikal dan mekanikal di kawasan tersebut.
"Dimaklumkan bahawa kerja baik pulih di bahagian stesen itu selesai sepenuhnya 15 Mei lalu," katanya.

Foto RAC

Foto RAC

Foto RAC
Sementara itu, salah seorang pengunjung menyambut baik usaha yang dilakukan itu demi imej bandar raya Ipoh amnya serta keselesaan ramai khususnya.
Fuad Muhamad Khusairi berkata, banyak perubahan dapat dilihat di stesen tersebut dan lebih penting keadaan siling yang terjaga serta tidak bocor ketika hujan lebat.
"Sebelum ini, memang kita berdepan dengan isu siling bocor dan air menitik ke lantai kalau hujan terlalu lebat.
"Tandas pula tidak memuaskan, tetapi sekarang nampak cantik dan lebih selesa untuk orang ramai yang memang bertumpu di sini ketika hujung minggu serta cuti sekolah.
"Kerana kita sedia maklum stesen di sini menjadi pintu kepada pelancong keluar masuk, jadi infrastruktur itu perlu dijaga dan diselenggara secara berkala," katanya.

Foto RAC
Sebelum ini, media melaporkan kerja baik pulih bumbung Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh yang berdepan isu siling bocor sebelum ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Mei ini.
RAC berkata, ia sekali gus menyelesaikan isu kebocoran siling di bahagian bawah stesen berkenaan, termasuk ruang menunggu.
RAC turut mengesahkan Hotel Majestic yang terletak di bangunan warisan itu akan turut dibaik pulih sebagai sebahagian daripada projek pemulihan bangunan stesen berkenaan.
Ia akan dilaksanakan secara menyeluruh secara berfasa.
Digelar sebagai Taj Mahal Ipoh, stesen berusia lebih 100 tahun itu menerima ribuan pengguna setiap hari.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami