PUTRAJAYA: Sebuah stesen minyak dipercayai melakukan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi akhirnya tumpas selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan dilakukan ke atas stesen minyak yang terletak di Klang pada 7 April lalu.

Menurutnya, ketika serbuan jam 10 malam itu, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.

"Pemandu lori terbabit baru membuat pengisian minyak berjumlah RM250.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit telah membuat bayaran berjumlah RM1,000 bagi pengisian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Azman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua kompartmen tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter.

Katanya, minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan invois berserta dokumen perniagaan yang lain dari stesen minyak berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM74,862.50 dan lelaki tempatan berusia 60 tahun mengaku pemandu lori tersebut turut ditahan," katanya.

Azman berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

"Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian