GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Steven Sim seru solidariti global untuk GSF di pentas WSSF

Bernama 03/10/2025 | 08:31 MYT
Sim menggesa masyarakat antarabangsa bersatu menentang ketidakadilan dan bertindak menghentikan kekejaman yang masih berterusan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyuarakan solidariti terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) pada Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 yang menghimpunkan perwakilan dari lebih 130 negara.


Ringkasan AI
  • Menteri Sumber Manusia Steven Sim suarakan solidariti terhadap aktivis GSF yang ditahan Israel dalam ucapannya di Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025
  • Beliau tegaskan pentingnya mempertahankan maruah manusia melalui dasar sosial, bukan senjata, serta menyeru masyarakat antarabangsa bersatu menentang ketidakadilan
  • Seramai 34 rakyat Malaysia sertai misi GSF ke Gaza, dengan 23 disahkan ditahan tentera Israel termasuk aktivis dan selebriti tanah air


Dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Gala WSSF malam tadi, Sim menggesa masyarakat antarabangsa bersatu menentang ketidakadilan dan bertindak menghentikan kekejaman yang masih berterusan.

"Kita bertanggungjawab dalam melindungi rakyat dan memelihara maruah, memastikan pekerja kita selamat. Tetapi saya turut terpanggil untuk menyuarakan mengenai keselamatan mereka yang terancam, bukan kerana kemalangan, tetapi mereka ditahan, kebebasan dinafikan, maruah diinjak-injak.

"Tiga puluh empat rakyat Malaysia antara jiwa berani yang ditawan ketika melakukan misi kemanusiaan GSF ke Gaza, Palestin," katanya.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby pada semalam mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia ditahan oleh pasukan Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Yang lain termasuk Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Sementara itu, Sim merakamkan penghargaan kepada Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) kerana memilih Kuala Lumpur sebagai ibu negara keselamatan sosial dunia sepanjang minggu lepas, menyaksikan lebih 1,000 peserta berhimpuan bagi merangka masa depan sistem perlindungan sosial global.

"Saya berharap Kuala Lumpur memberi ruang dan peluang kepada para perwakilan untuk mengadakan perbincangan yang berkesan," katanya.

Sim turut menyentuh mengenai kepentingan usaha untuk melindungi manusia dan mempertahankan maruah walau di mana jua berada, dan keputusan yang dibuat pada forum itu dijangka memberi kesan terhadap kehidupan berbilion manusia.

"Kita tidak mempertahankan maruah dengan senjata atau bom sebaliknya menerusi dasar sosial yang berteraskan keyakinan bahawa setiap insan, lelaki dan wanita, muda dan tua, tanpa mengira warna kulit dan pegangan, sama ada sihat atau berkeupayaan terhad, berhak untuk memiliki kehidupan yang bermaruah," katanya.

-- BERNAMA



#GSF #Steven Sim #Israel #Global Sumud Flotilla