Stigma dan keadaan masyarakat keseluruhan yang meminggirkan, menghina dan mendiskriminasi pesakit menjadi satu-satunya penghalang kepada usaha pencegahan HIV dan AIDS.

Menurut Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, tanggapan negatif masyarakat berhubung HIV telah menyebabkan mereka ini enggan mendapatkan rawatan sekali gus membantutkan usaha pencegahan penyebaran HIV dan AIDS menjelang 2030.

“Ya, itu lah yang menjadi faktor penghalang kepada mereka yang berisiko untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan maklumat berkenaan HIV dan AIDS.

“Tanggapan negatif masyarakat juga menyebabkan golongan berisiko ini enggan mendapat rawatan dan dianogsis. Ini antara perkara yang kita perlu atasi,” katanya di Bengkel Pemerkasaan Media Reben Merah 2019 yang turut dihadiri oleh Datin Paduka Marina Mahathir di ibu negara.

Jelas beliau, kecanggihan teknologi dan ubat-ubatan pada masa kini sebenarnya boleh membantu mencegah penularan HIV dan AIDS.

Justeru katanya media memainkan peranan yang amat besar untuk mendidik masyarakat dengan fakta dan maklumat yang tepat supaya individu dihidap aids tidak terus dihina, tetapi dibantu.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk '30 tahun HIV dan AIDS di Malaysia: Stigma, sains dan tanggungjawab bersama' yang turut dibarisi Marina selaku penaung Yayasan AIDS Malaysia di ibu negara pada Rabu.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, peratusan individu terkena jangkitan HIV menyaksikan penurunan 60 peratus sejak 2002 hingga 2017, dari 28.4 kepada 10.3 setiap 100,000 orang.

HIV tidak berjangkit melalui ciuman, perkongsian makanan, bersin, batuk, sentuhan kulit luaran yang tiada kecederaan mahupun berkongsi tempat tinggal, kerja atau belajar.