KUALA LUMPUR: Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd serta pengarah-pengarah syarikat berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan malam  ini  memaklumkan  pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam dengan cara mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran bagi tujuan jualan.

AGC turut memaklumkan Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarah-pengarahnya juga akan didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana telah bersubahat sebagai pembekal stoking bercetak kalimah Allah kepada Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.

Sebelum ini video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pada 16 Mac lepas, pengendali kedai rangkaian serbaneka itu memohon maaf susulan video tular penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

-- BERNAMA