Stor bahan mentah Balai Polis Gopeng terbakar

Abd Razak Mohd Ali
Disember 18, 2022 22:00 MYT
Anggota bomba sedang menjalankan operasi pemadaman di stor penyimpanan bahan mentah di Balai Polis Gopeng dalam kejadian awal tengah malam tadi. -JBPM Perak
GOPENG: Sebuah stor tempat penyimpanan bahan mentah di Balai Polis Gopeng, di sini, terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 12.23 pagi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah stor kelas A berkeluasan 4x6 kaki di balai polis berkenaan.
“Stor dijadikan sebagai tempat penyimpanan bahan-bahan mentah dan musnah terbakar 11 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya lagi, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian membuat operasi pemadaman menggunakan dua aliran dua pancutan 100 kaki sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Katanya, operasi dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dengan dibantu anggota dari BBP Simpang Pulai.
Operasi yang diketuai sendiri Ketua BBP Gopeng, Penolong Penguasa Bomba Saiful Rizan Sulaiman, tamat jam 1.41 pagi.
#Balai Polis Gopeng #setor penyimpanan bahan mentah #balai polis terbakar #JBPM Perak