MARAN: Kerajaan Negeri Pahang berusaha menyelesaikan permasalahan perumahan generasi kedua Felda menerusi pelaksanaan Skim Tanah Rakyat (STR).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek perintis di kawasan Felda Jengka 2 itu, membabitkan 40 penerima terdiri daripada generasi kedua Felda, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah di kalangan rakyat.

"Kerajaan negeri akan memperluaskan pemberian STR melibatkan kawasan Felda mengikut kesesuaian serta penelitian rapi.

"Kita akan tengok 'case by case' dan sekiranya perkara itu perlu dibantu dan memenuhi peraturan dan syarat, kita bagi, dan kemungkinan (akan diperluaskan ke Felda lain).

"Mungkin Felda juga menghadapi masalah yang sama (berkaitan) perumahan generasi kedua,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik, Surat Kelulusan dan Notis 5A Skim Tanah Rakyat (STR) serta Surat Tawaran Penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 2B Daerah Maran di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Sentul, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Pegawai Daerah Maran Datuk Sharuddin Jali dan Pegawai Agama Islam Daerah Maran Amirul Farhan Wahi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cek sumbangan kerajaan negeri kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kuala Sentul dan penyampaian surat kepada tujuh kontraktor yang akan membina rumah bantuan banjir di bawah peruntukan United Arab Emirates (UAE).

Turut disampaikan, surat tawaran RRP Fasa 2B kepada tujuh penerima dan surat kelulusan dan Notis 5A STR kepada 40 generasi kedua Felda Jengka 2 serta Surat Hakmilik STR kepada 125 penerima daripada Kampung Bak Bak Fasa 3 dan 56 penerima dari Kampung Kuala Sentul.

Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah Maran telah menerima permohonan bagi STR membabitkan beberapa lokasi Felda iaitu Jengka 1, 3, 4, 5 dan 6.