Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

STR Fasa 3 diagih mulai 12 Ogos ini - MOF

Harits Asyraf Hasnan 11/08/2025 | 02:20 MYT
Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima mulai Selasa. - Foto Facebook/Kementerian Kewangan
PUTRAJAYA: Sejumlah 8.6 juta rakyat Malaysia akan menerima pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai 12 Ogos ini, dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.


Ringkasan AI
  • Seramai 8.6 juta rakyat Malaysia akan menerima STR Fasa 3 mulai 12 Ogos, melibatkan peruntukan RM2 bilion bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah.
  • Jumlah penerima meningkat berbanding Fasa 1, hasil permohonan baharu dan rayuan yang dibuka sepanjang tahun oleh kerajaan.
  • Pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank atau dituntut di BSN, dengan jumlah bantuan antara RM150 hingga RM650 bergantung kepada kategori pendapatan dan status penerima.


Jumlah penerima itu meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima pada Fasa 1 pada Januari lepas, hasil pembukaan permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun oleh kerajaan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu membuktikan kerajaan tidak mengambil mudah tanggungjawab memastikan tiada yang tercicir daripada menikmati manfaat negara.

“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima mulai Selasa, manakala mereka yang tiada akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan boleh menuntut bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan.

Bagi STR Fasa 3 tahun ini, isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima antara RM150 hingga RM650, isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 menerima RM150 hingga RM300, manakala warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing menerima RM150.

Maklumat lanjut termasuk soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan boleh didapati di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.






#Str #kos sara hidup #isi rumah berpendapatan rendah #Anwar Ibrahim