Strain baharu COVID-19: UK gantung penerbangan ke 6 negara di selatan Afrika

Bernama
November 26, 2021 03:56 MYT
UK menggantung penerbangan ke enam negara di selatan benua Afrika sehingga 28 Nov berikutan penularan strain COVID-19 B.1.1.529. -Gambar fail Lapangan Terbang Heathrow di UK/Unsplash
LONDON: United Kingdom (UK) menggantung penerbangan ke enam negara di selatan benua Afrika - Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Namibia - sehingga 28 Nov berikutan penularan strain COVID-19 B.1.1.529, kata kerajaan UK.
"Mulai tengah hari Jumaat (26 Nov), Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Namibia akan dimasukkan ke senarai merah untuk perjalanan UK.
"Penerbangan terus dari enam negara akan dihentikan mulai tengah hari Jumaat sehingga kuarantin hotel dapat disediakan bermula 4 pagi Ahad (28 Nov)," lapor Sputnik, memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Mulai hari Jumaat warganegara bukan UK dan Ireland yang melawat enam negara Afrika itu dalam tempoh 10 hari yang lalu tidak dibenarkan masuk ke UK, manakala warga UK dan Ireland dikehendaki menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari.
Awal minggu ini, saintis dari UK memberi amaran mengenai kemunculan strain COVID-19 baharu yang mengandungi 32 mutasi, di Botswana. Kebanyakan mutasi berkenaan menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi dan ketahanan terhadap vaksin.
Strain itu juga mengandungi lebih banyak perubahan dalam "protein spike" berbanding semua varian COVID-19 yang lain.
Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Afrika Selatan kemudiannya turut mengesahkan bahawa strain baharu itu ditemui di Afrika Selatan, dengan mencatat 22 kes setakat ini.
-- BERNAMA
#selatan Afrika #gantung penerbangan #Botswana #strain baharu COVID-19