KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada strategi pemulihan pascabanjir khususnya kepada mereka yang terjejas, termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan sewajarnya, selain menggerakkan semua jentera kerajaan termasuk Kementerian Kewangan, dalam menyediakan peruntukan serta sumber mencukupi.

Perkara itu diumumkan Pengarah Belanjawan Negara, Pejabat Belanjawan Negara (NBO) Datuk Johan Mahmood Merican hari ini. 

“Untuk usahawan PMKS, kita telah menyediakan dana khusus sebanyak RM30 juta untuk pinjaman pemulihan banjir di bawah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro di bawah Tekun Nasional.

“Bagi PKS mikro yang memerlukan pinjaman sehingga RM10,000, ia akan disediakan juga tanpa faedah, dan dengan moratorium sehingga satu tahun,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Agenda AWANI baru-baru ini.


Agenda AWANI: Strategi percepat pemulihan PKS pasca banjir

Terdahulu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Sementa) menyatakan, antara 12,000 dan 18,000 ahli mereka terjejas banjir sehingga menyebabkan kerosakan terhadap infrastruktur dan peralatan perniagaan.

Tambah Johan, bagi meringankan beban usahawan yang terkesan, bank-bank turut tampil dalam menyediakan pelbagai jenis bantuan dan sokongan khususnya dari segi moratorium dan penangguhan atau pelanjutan bayaran balik pinjaman.

‘’Bagi syarikat atau perniagaan lebih besar, Bank Negara Malaysia mengumumkan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) dengan dana sebanyak RM500 juta yang akan disediakan melalui bank-bank komersial.

“Ia ditawarkan pada kadar faedah rendah iaitu 2.5 peratus dengan jumlah pinjaman sehingga RM500,000 bagi membantu PKS yang mengalami kerosakan akibat banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Bajet 2022 yang diluluskan pada Disember lalu membolehkan kerajaan bertindak proaktif dan responsif, khususnya dalam menangani isu banjir.

‘’Isu banjir merupakan satu keutamaan. Pihak kami boleh buat penyelarasan semula bagi memastikan, jika perlu, bantuan mangsa banjir dan peruntukan membaiki infrastruktur atau rumah yang rosak, diselaraskan dalam lingkungan paras siling Bajet 2022 ini.

“Dengan itu, kerajaan akan terus memantau keadaan hujan dan banjir, dan dapat mengerahkan bantuan mengikut kawasan-kawasan yang terjejas,” jelasnya.