KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan terus berusaha melakukan perubahan dan islah terhadap Malaysia dengan menjadikan strategi Rasulullah SAW dalam mendirikan pentadbiran baharu di rantau Arab lebih 14 kurun lepas sebagai rujukan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini sempena sambutan Maulidur Rasul esok, Anwar berkata tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya namun beliau akan terus berusaha melakukan yang terbaik untuk Malaysia.
“Keperluan asas harus terjamin dan keamanan nyata amat penting. Iktikad ini menjadi syarat terjaminnya daruriyat dalam Maqasid Syariah seperti yang diungkap Muhammad Imarah.
“Di Madinatun Nabi yang serba rahmah itu, yang miskin dibantu, yang lemah disantuni, yang berbeza masing-masing diberi ruang. Amalan monopoli disingkir demi pemerataan ekonomi yang lebih saksama, sementara utusan dihantar keluar dengan mesej membina tatanan yang lebih aman dan adil,” katanya.
Menteri Kewangan itu berkata beliau sentiasa mendambakan yang terbaik buat seluruh rakyat dan berharap Allah SWT terus memberkati Malaysia selain rakyatnya dirahmati dengan kasih sayang serta rezeki yang berkat.
Menerusi hantaran sama, Anwar turut berkongsi mengenai sirah dan perit jerih Rasulullah SAW mendirikan pentadbiran baharu di rantau Arab.
“Selepas usaha islah penat lelah selama sedekad, Madinah yang Baginda suburkan dengan tatanan adil dan ihsan berhasil memaculkan rakyat dengan akal budi dan akhlak yang tinggi. Ternyata paradigma syariah telah merubah sahsiah dan minda mereka dengan kesedaran ketuhanan dan kematangan sosial.
“Pertembungan tajam Aus dan Khazraj yang sekian lama menggoncang Yathrib dilebur dalam semangat perpaduan Ansar demi kestabilan, menghapus curiga dan kegelisahan kaum yang menghambat kemajuan,” katanya.
Perdana Menteri turut berkongsi sepotong ayat daripada Surah Quraysh yang bermaksud, “Dia yang memberi makanan bagi menghilangkan kelaparan, dan mengamankan mereka daripada rasa ketakutan.”
-- BERNAMA