KUALA LUMPUR: Usaha konservasi pokok warisan menerusi Heritage Tree Scheme yang dilaksanakan Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) boleh dijadikan sebagai contoh untuk Malaysia demi pemuliharaan pokok-pokok di negara ini.

Menurut Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), Profesor Madya Nor Atiah Ismail, program yang dilaksanakan oleh Singapura itu telah terbukti berkesan kerana dalam program berkenaan, ia bukan hanya berkaitan dengan penyelengaraan pokok, malah merangkumi aspek dalam mengenal pasti, melindungi dan merawat pokok-pokok warisan ataupun pokok-pokok tua yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan ekologi yang signifikan.

"Kita boleh kategorikan pokok-pokok yang berada di dalam ruang kota kita ini kepada tiga iaitu skim pokok muda, skim pokok dewasa dan juga skim pokok warisan ataupun pokok yang tua.

"Akan ada tiga skim yang memerlukan penjagaan yang berbeza bagi setiap kategori tersebut. Maka, tidaklah kita katakan, hanya satu garis panduan untuk satu pokok adalah sesuai untuk ketiga-tiga kategori tersebut," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Jelasnya lagi, fokus juga harus diberikan kepada pokok-pokok berusia dan juga pokok warisan kerana setiap satunya mempunyai signifikan yang sangat tinggi.

"Apabila ia dikategorikan sebagai pokok-pokok warisan, ia perlu didaftarkan dengan kad identifikasi bagi setiap pokok tersebut dan (sekali gus) kaitkan ia dengan teknologi yang kita ada," ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar sebuah portal ataupun pangkalan data bagi pokok-pokok yang ditanam di Kuala Lumpur dipertimbang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), agar masyarakat dapat bersama-sama memantau keadaan pokok-pokok dari semasa ke semasa.

Menurutnya, Ipoh, mempunyai portal mereka tersendiri. 

"(Ipoh) ada eZe3@MBI.. iaitu semua pokok yang berada di Ipoh dah ada pensijilan. Keadaan semasa dan (infomasi akan) sentiasa dikemas kini dalam portal tersebut.

Tambahnya, portal tersebut dikongsi kepada umum dan mereka sentiasa boleh menambah baik ataupun memaklumkan tentang keadaan pokok-pokok tersebut daripada semasa ke semasa.