MALAYSIA

Strategi tingkat kehadiran polis di sekolah dilaksana dalam masa terdekat

Bernama 18/10/2025 | 04:00 MYT
Saifuddin berkata selain keberadaan secara omni-presence itu, polis juga diminta tampil dengan program lebih kreatif bagi meningkatkan kesedaran murid dan pelajar mengenai aktiviti jenayah. - Gambar fail
ALOR GAJAH: Strategi baharu polis untuk meningkatkan keberadaan mereka di sekolah akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Ringkasan AI
  • Strategi baharu keberadaan polis secara omni-presence di sekolah akan dilaksanakan susulan arahan Kabinet kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengekang jenayah remaja.
  • Polis diminta tampil dengan program kreatif seperti sesi penglibatan langsung, pemeriksaan teratur dan khidmat nasihat kepada pihak sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar.
  • Langkah ini turut menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan melalui pendekatan bersepadu merangkumi pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan.


Beliau berkata tindakan itu diambil selepas Kabinet mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tampil lebih kerap di kawasan sekolah dalam usaha kerajaan mengekang aktiviti jenayah dalam kalangan remaja.

"Kami perlu tingkatkan rondaan ini yang bersifat omni-presence, maknanya, keberadaan pasukan polis di sesebuah sekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata selain keberadaan secara omni-presence itu, polis juga diminta tampil dengan program lebih kreatif bagi meningkatkan kesedaran murid dan pelajar mengenai aktiviti jenayah.

"Maksudnya, polis mesti menyusul dengan (antaranya) kekerapan jadual lawatan, kena ada penglibatan yang lebih langsung dengan pihak sekolah... ia bebeza dengan melawat dan singgah sahaja.

"Dia (polis) kena lebih kreatif tampil dengan pelbagai sesi penglibatan, lawatan yang lebih kerap, pemeriksaan lebih teratur, kemudiannya khidmat nasihat kepada semua pihak berkepentingan," katanya.

Semalam, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata KDN menerusi PDRM akan meningkatkan rondaan serta kehadiran anggota polis di kawasan sekolah sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.

Beliau dipetik berkata langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan bersepadu merangkumi aspek pendidikan, pencegahan, dan penguatkuasaan.

-- BERNAMA


#tikam pelajar #Saifuddin Nasution #kawalan keselamatan sekolah #anggota polis di sekolah