PUTRAJAYA: Struktur persembahan grafik manusia yang digunakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 telah diperiksa semula dan disahkan selamat untuk digunakan, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.
Beliau berkata pemeriksaan dan pengesahan keselamatan terkini dilaksanakan pada 29 Ogos berikutan kebimbangan yang dibangkitkan berhubung pergerakan struktur berkenaan.
“Struktur berkenaan disahkan selamat digunakan mengikut spesifikasi, kapasiti dan kaedah penggunaan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sakeri berkata struktur sementara itu dipasang oleh kontraktor yang dilantik berdasarkan spesifikasi teknikal dan keperluan keselamatan yang ditetapkan.
“Struktur berkenaan turut diperiksa oleh jurutera bertauliah daripada pihak kontraktor dan diberikan Green Tag selepas melalui proses pemeriksaan oleh pihak yang kompeten,” katanya.
Beliau berkata PPj memahami bahawa pergerakan yang dapat dilihat pada struktur berkenaan boleh menimbulkan kebimbangan, namun penilaian keselamatan dibuat berdasarkan aspek kejuruteraan termasuk reka bentuk, kaedah pemasangan, kestabilan, kapasiti beban dan keadaan tapak.
Mohd Sakeri berkata pemeriksaan turut dilaksanakan sebelum dan selepas penggunaan sepanjang tempoh latihan dan raptai.
“PPj bersama kontraktor akan terus memantau keadaan struktur dan sebarang perubahan yang boleh menjejaskan kestabilannya akan diikuti dengan kerja pembaikan serta pemeriksaan teknikal semula sebelum struktur digunakan,” katanya.
Beliau berkata keselamatan orang awam, petugas dan peserta kekal menjadi keutamaan PPj bagi memastikan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2026 dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi keperluan teknikal yang ditetapkan.
-- BERNAMA