SEREMBAN: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas anak lelaki mereka yang berusia lima tahun, sejak April 2023.

Tertuduh, Mohammad Zul Shafiq Shammadi, 29, dan Nurwadahtulfatanah Mohamad, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun telah menganiayai atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan memukul menggunakan rotan dan hanger di tubuh badan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pancaindera 6, Mantin, dekat Nilai antara April 2023 sehingga 23 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh yang tidak diwakili peguam. -Sinar Harian