SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat lebih 51 kilogram minggu lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Syamil Idris, 32, dan Nurul Wahida Mohd Adnan, 32, dari Bandar Sri Astana didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu ganja seberat 768 gram di Lorong Astana, Bandar Sri Astana di sini pada 12.30 tengah malam, 28 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu dituduh secara bersama mengedar ganja seberat 50,866 gram di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kalaiarasi Muniandy.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan Saiful Syamil yang bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah kilang di Kulim dan Nurul Wahida yang merupakan suri rumah boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Preeya Singaravelu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kalaiarasi menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, kegiatan sepasang suami isteri dipercayai menjadi ‘transporter’ untuk mengedar dadah jenis ganja bernilai RM160,000 sejak April lalu terbongkar selepas ditahan polis di rumah mereka di Bandar Seri Astana.

Pasangan  itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam semasa sedang berehat di rumah mereka selepas pulang daripada mengambil bekalan dadah di sempadan melalui negeri Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil serbuan menemukan satu bungkusan dadah jenis ganja mampat di rumah itu sebelum pemeriksaan lanjut menemui 50 lagi ketulan mampat ganja di dalam bonet kereta jenis Honda Jazz yang bernombor pendaftaran Thailand.