NATIONAL
Suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak di rumah perlindungan
Media sebelum ini melaporkan, rakaman video oleh kumpulan sukarelawan memaparkan sekumpulan anak yatim dipercayai dikurung di sebuah pusat jagaan di Cheras, menjadi tular. - Gambar/ IG Malaysia Fight League
KAJANG: Sepasang suami isteri warga tempatan ditahan polis pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penderaan terhadap beberapa kanak-kanak di sebuah rumah perlindungan persendirian di Batu 9, Cheras.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan selepas seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mendakwa dia ditampar dan dimarahi penjaga rumah tersebut kerana enggan menurut arahan.
“Pengadu menyatakan telah ditampar di pipi kiri dan dimarahi oleh pemilik rumah perlindungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Tambah Naazron, dua lagi laporan turut diterima daripada saksi lain yang mendakwa pemilik rumah itu turut mendera emosi dan mental penghuni-penghuni lain sebelum ini.
Katanya, susulan maklumat dan siasatan lanjut, pihak polis menahan pasangan berusia 66 dan 68 tahun yang juga pemilik pusat perlindungan dan mereka akan direman pada Jumaat.
Dalam pada itu, katanya kesemua 18 kanak-kanak yang menghuni pusat berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut termasuk pemeriksaan kesihatan.
Beliau berkata, ses disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang mana jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua puluh tahun, atau kedua-duanya.
Media sebelum ini melaporkan, rakaman video oleh sekumpulan sukarelawan memaparkan sekumpulan anak yatim dipercayai dikurung di sebuah pusat jagaan di Cheras, menjadi tular.