JOHOR BAHRU: Kegiatan pengedaran dadah didalangi suami isteri yang menjadikan rumah dan kereta sebagai transit stor penyimpanan terbongkar selepas dicekup polis di rumah mereka di Taman Aman, Senai pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan pasangan suami isteri berusia 34 dan 30 tahun itu hasil daripada Op Khas yang dijalankan sekitar Kulai dan Iskandar Puteri bermula pada Sabtu hingga Selasa.

Katanya, dadah dianggarkan bernilai RM362,022 dirampas selain 11 lagi suspek ditahan menerusi empat serbuan berasingan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.

"Bermula pada jam 6 petang pada Sabtu hingga jam 2 pagi pada Selasa, seramai lapan suspek lelaki dan lima wanita tempatan berusia lingkungan 21 hingga 55 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.

"Kesemua suspek ditahan bersama dadah terdiri daripada 74.85 kilogram (kg) dadah bersamaan 76 ketulan mampat, 1,643 biji pil ecstacy, 9.29 kg heroin dan tujuh peket ketamin. Dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 123,833 penagih,"

"Selain itu, polis turut menyita tujuh buah kereta, tiga buah motosikal dan pelbagai barangan kemas dengan keseluruhan nilai sitaan sebanyak RM319,950," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

Kamarul Zaman berkata, sindiket yang aktif sejak empat bulan lalu menjadikan rumah teres dan kereta sebagai stor simpanan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran berdekatan.

"Hasil saringan urin mendapati kesemua suspek negatif sementara semakan rekod pula mendapati enam suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 398B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Bermula 1 Januari hingga Selasa, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor berjaya menahan seramai 452 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 534kg dadah dianggarkan bernilai RM743,773 serta menyita RM487,690 harta sindiket.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian