[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Suami isteri, kenalan wanita didakwa edar dadah

Bernama 12/09/2025 | 10:40 MYT
Ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 80,330 gram pada 10.30 malam, 2 Sept lepas, di Jalan Anggerik 8, Taman Sri Penawar, Kota Tinggi. - Gambar/ Bernama
KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri bersama seorang kenalan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah minggu lepas.

Muhammad Fairul Jaafar, 43, isterinya Elika Safitri, 33, warga Indonesia, serta NurSahkila Yusof, 39, didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 80,330 gram pada 10.30 malam, 2 Sept lepas, di Jalan Anggerik 8, Taman Sri Penawar, Kota Tinggi.

Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa manakala Muhammad Fairul dan Elika Safitri diwakili peguam Nor Shahid Abd Malik.

Mahkamah menetapkan 13 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan tiada jaminan dibenarkan kepada semua tertuduh.

Di mahkamah sama, Muhammad Fairul yang merupakan pengusaha bengkel turut dituduh memberi dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badan sendiri di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi pada 18 Sept 2023 kira-kira 8.50 malam.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan perlu menjalani pengawasan bagi tempoh tidak kurang daripada dua dan tidak lebih daripada tiga tahun.

Bagaimanapun tertuduh tidak mengaku salah atas pertuduhan tersebut dan mahkamah menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA






#edar dadah #kes mahkamah #suami isteri #Johor