Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Suami isteri maut dalam kemalangan dua kenderaan di Bentong

Bernama 10/12/2025 | 16:15 MYT
Pasangan suami isteri maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Kuala Lumpur dekat Kampung Ketari, Bentong malam tadi. - Foto Bomba Pahang
KUANTAN: Pasangan suami isteri maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Kuala Lumpur dekat Kampung Ketari, Bentong malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.19 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Kemalangan melibatkan kereta Proton Iswara dan Mercedes Benz. Setibanya di lokasi, pasukan bomba telah membuat operasi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Iswara terbabit menggunakan peralatan rescue tool," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua mangsa, iaitu seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 51 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Mohd Salahuddin berkata seorang lagi mangsa berusia 23 tahun yang juga pemandu kenderaan itu disahkan mengalami kecederaan parah manakala pemandu Mercedes Benz berusia 40 tahun pula hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata lapan anggota JBPM digerakkan dalam operasi terbabit dengan dilengkapi jentera Fire Rescue Tender dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

-- BERNAMA


#suami isteri #kemalangan dua kenderaan #Bentong #JBPM Pahang