DUNGUN: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Nahas berlaku di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan Tanjung Jara, di sini kira-kira jam 5 petang Sabtu.

Mohd Abdika Razali, 36, dan isterinya, Rabiatuladawiah Saufi, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

Menurut Baharudin, ketika kejadian pasangan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menghadiri Program Perhimpunan Motosikal Berkuasa Tinggi di Kuala Terengganu.

Setiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak kenderaan MPV jenis Toyota Innova yang keluar dari simpang secara tiba-tiba dan melanggar sisi kanan kenderaan itu sebelum kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan raya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.