Suami isteri maut Proton Exora langgar tembok di Johor

Bernama
November 20, 2013 23:41 MYT
Sepasang suami isteri maut apabila kenderaan mereka terbabas dan merempuh tembok di Km9.5 Lebuh Raya Air Keroh-Melaka-Jasin (AMJ) dekat Parit Fajar, Kesang di sini Rabu.
Kemalangan pada pukul 4 petang itu menyebabkan Dharil Yusof, 42, mati di tempat kejadian manakala isterinya Roslina Mahmod, 40, mati di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang DSP Mohd Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Ketika kejadian, Roslina dan suaminya yang bekerja sebagai juruteknik kilang itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 5, Tanjung Gading, Jalan Kesang di sini, tidak jauh dari tempat kejadian.
Kereta Proton Exora yang dipandu Roslina dikatakan hilang kawalan dan merempuh tembok tepi jalan menyebabkan kereta itu remuk dan kedua-dua mereka tersepit di tempat duduk mereka.
Pasangan itu meninggalkan empat orang anak berusia antara empat hingga 15 tahun.
#Dharil Yusof #kemalangan #Roslina Mahmod