MALAYSIA

Suami isteri pengedar dadah dicekup dalam Op Tapis

Ridzal Abdullah 02/08/2025 | 00:40 MYT
Suspek direman mulai hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan. - Foto PDRM
LAHAD DATU: Sepasang suami isteri disyaki aktif mengedar dadah dicekup polis dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini, semalam.

Dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu, polis menahan tiga individu termasuk seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun di Kampung Sapadulang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui 0.17 gram syabu bernilai RM18.70.

“Siasatan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan pertama membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah di Jalan SMK Sains, Batu 8 yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 39 tahun dan isterinya berusia 34 tahun.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui 157.54 gram syabu dianggar bernilai RM17,329.40.

Dzulbaharin berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan, televisyen, telefon bimbit, wang tunai serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.

“Ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya didapati negatif,” katanya.

Ketiga-tiga suspek direman mulai hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Siasatan tambahan turut dijalankan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.








#suami isteri dicekup polis #Dadah #serbuan #Lahad Datu