KULIM: Pasangan suami isteri disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Mahang, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Rawa, Sedim di sini.

Pasangan berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah Kulim menerusi ‘Ops Tapis’ kira-kira pukul 6.30 petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, menerusi serbuan itu, dua paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat tujuh gram ditemui.

Pemeriksaan lanjut polis menemui satu paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 207 gram.

“Suspek lelaki bekerja sebagai mekanik manakala isteri tidak berkerja namun kegiatan mereka terbongkar susulan penahanan dua lelaki pada hari sama di kawasan Mahang.

“Lelaki pertama berusia lingkungan 20-an ditahan kira-kira pukul 11 pagi di kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Dingin oleh anggota balai polis Mahang.

“Hasil tangkapan itu polis menemukan satu beg mengandungi enam paket plastik lut sinar pelbagai saiz dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat kira-kira 270 gram dan satu peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 15 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sazalee, kira-kira setengah jam kemudian, polis menahan seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an di tepi jalan berhampiran Kampung Ulu Dingin.

“Polis menemukan dua paket plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin anggaran berat 19.5 gram dan satu peket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 2.5 gram,” katanya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan dadah ialah 350 gram heroin dan 48 gram syabu dengan nilai rampasan RM24,000.

Hasil ujian urin mendapati tiga suspek lelaki positif dadah manakala wanita terbabit negatif.

Kesemua suspek direman bermula hari ini hingga 27 Oktober untuk bantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.