KOTA BHARU: Keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan suami terhadap isteri, malah boleh berlaku terhadap suami oleh isteri atau ahli keluarga lain, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh.
Beliau berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana keganasan dalam institusi keluarga boleh mengakibatkan kecederaan parah, kematian atau membawa kepada perlakuan jenayah lain sekiranya tidak dibendung.
“Kadangkala, individu yang berdepan tekanan mungkin mencari ruang untuk melepaskan tekanan itu, namun ia tidak sepatutnya dilakukan dengan menggunakan kekerasan terhadap pasangan atau ahli keluarga,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara JKM Negeri Kelantan Tahun 2026, di sini, pada Selasa.
Che Samsuzuki berkata, sebanyak 32 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Kelantan setakat tahun ini, termasuk kejadian terbaharu membabitkan seorang wanita yang cedera parah selepas ditikam suaminya di Kampung Padang Lepai, Kadok, pada 5 Okt.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, JKM akan terus bekerjasama dengan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga serta saluran bantuan yang tersedia kepada mangsa.
Che Samsuzuki berkata, mangsa yang mengalami keganasan, digesa tampil mendapatkan bantuan daripada JKM atau Pejabat Pembangunan Wanita, selain membuat laporan polis dan menjalani pemeriksaan perubatan sekiranya mengalami kecederaan.
“Jangan berdiam diri atau menganggap perkara itu sebagai masalah keluarga semata-mata. Mangsa perlu mendapatkan bantuan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan keselamatan mereka terjamin,” katanya.
Sementara itu, mengulas persiapan menghadapi Monsun Timur Laut, Che Samsuzuki berkata, sebanyak 451 PPS telah disediakan di Kelantan, manakala 162 pangkalan hadapan turut dilengkapi barangan keperluan untuk membantu mangsa banjir.
Beliau berkata, JKM turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PDRM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi banjir.
Beliau berkata, sebanyak 12 latihan simulasi banjir dirancang tahun ini, termasuk latihan yang melibatkan masyarakat kampung di daerah yang sering dilanda banjir.
“Untuk menghadapi banjir tahun ini, kita mengadakan sebanyak 12 latihan simulasi yang turut melibatkan masyarakat kampung di daerah-daerah yang sentiasa mengalami banjir,” katanya.
-- BERNAMA