[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Suami maut, isteri dan tiga anak parah kereta dinaiki langgar tiang elektrik

Sinar Harian 06/10/2025 | 08:20 MYT
Kereta dinaiki lima beranak yang dipercayai melanggar tiang elektrik dalam kejadian di di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22 pada Isnin. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang lelaki maut manakala isterinya serta tiga anak termasuk seorang bayi cedera parah selepas kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabas dan melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, di sini, pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki maut manakala isteri dan tiga anaknya cedera parah selepas kereta mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Shah Alam.
  • Mangsa tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala ahli keluarga lain dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
  • Pihak bomba dan perubatan bertindak segera, dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga FLX yang terbabas dan melanggar tiang elektrik.

"Seorang lelaki berusia 39 tahun tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan pada jam 1.45 petang, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, seorang wanita berusia 38 tahun serta tiga anak perempuan masing-masing berumur 7 tahun, 4 tahun dan seorang bayi berusia 7 bulan mengalami kecederaan parah.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

"Kes melibatkan mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. -Sinar Harian





#Balai Bomba dan Penyelamat #langgar tiang elektrik #Persiaran Tengku Ampuan #Hospital Shah Alam #isteri dan tiga anak parah