MALAYSIA

Suami pengasas Dnars diarah kemuka penjelasan gagal pulang RM1.3 juta

Sinar Harian 21/09/2025 | 10:15 MYT
Ahmad Shah Rizal (kanan) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Ahad mengarahkan suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad mengemukakan penjelasan bertulis berhubung kegagalan memulangkan wang tunai RM1.3 juta sebagaimana perintah pada 13 Ogos lalu.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan Ahmad Shah Rizal, suami kepada Allahyarham Faziani Rohban, mengemukakan penjelasan bertulis berhubung kegagalan memulangkan wang tunai RM1.3 juta seperti diperintahkan pada 13 Ogos lalu.
  • Ahmad Shah Rizal mendakwa tidak menerima surat rasmi mengenai arahan tersebut dan menyatakan wang itu masih dalam simpanannya serta belum digunakan.
  • Beliau turut mendakwa waris Allahyarham masih berhutang bayaran faraid RM3.2 juta dan akan memfailkan injunksi untuk menuntut semula wang tersebut, manakala mahkamah menetapkan 26 Oktober untuk keputusan permohonan pembatalan saman harta sepencarian.


Hakim, Zaini Sulaiman menetapkan perintah itu terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 48, selepas lelaki terbabit memberitahu mahkamah bahawa dia tidak menerima sebarang surat rasmi mengenai arahan pemulangan wang terbabit.

Zaini turut menetapkan 26 Oktober ini untuk keputusan permohonan ahli waris Allahyarham Faziani bagi membatalkan saman harta sepencarian yang difailkan Ahmad Shah Rizal sebagai plaintif.

Ahmad Shah Rizal yang ditemui di pekarangan mahkamah berkata, dia tidak menerima surat rasmi berkaitan arahan pemulangan wang itu dan hanya mengetahuinya melalui media sosial.

“Saya hanya akan menyerahkan wang itu ke dalam akaun pentadbir yang diuruskan bersama saya dan anak tiri, Aqbar Hakim Jasman selepas menerima surat rasmi daripada mahkamah.

“Wang tersebut masih berada dalam simpanan saya dan belum digunakan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan jumlah RM1.3 juta yang dipertikaikan hanya sekitar enam peratus daripada nilai keseluruhan tuntutan harta sepencarian yang dianggarkan sebanyak RM80 juta.

Sebelum ini, waris Allahyarham Faziani memfailkan permohonan membatalkan saman harta sepencarian dan mengarahkan peguam syarie mereka memohon prosiding komital terhadap Ahmad Shah Rizal kerana gagal memulangkan wang seperti diarahkan.

Dalam pada itu, Ahmad Shah Rizal mendakwa ahli waris yang juga pihak defendan masih berhutang bayaran faraid berjumlah RM3.2 juta dan memaklumkan akan mengarahkan peguamnya, Khairunnasriah Abdul Salam memfailkan injunksi supaya wang tersebut turut dikembalikan. -- Sinar Harian




#suami pengasas Dnars #Faziani Rohban Ahmad #penjelasan bertulis #Ahmad Shah Rizal Ibrahim #pulangkan wang tunai 1 3 juta